Friday, April 17, 2009

Thaksin Shinawatra kini miliki pasport Nicaragua



DUBAI - Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra (gambar) semalam menggesa para penyokongnya yang mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran baru-baru ini supaya menyertai rundingan damai dengan kerajaan Thai.

Bangkok sebelum ini lumpuh selama beberapa hari selepas demonstrasi yang disertai puluhan ribu penyokong beliau bagi mendesak pilihan raya baru diadakan namun ia bertukar ganas.

Suasana kembali tenang pada Selasa lalu selepas tentera mengadakan gerakan besar-besaran bagi memulihkan keamanan.

"Jika kerajaan mahu berdamai, saya menggalakkan kumpulan baju merah supaya turut serta," kata Thaksin dalam satu wawancara di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Thai sudah mengeluarkan 14 waran tangkap terhadap Thaksin termasuk membatalkan pasport peribadi beliau.

Bagaimanapun, usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva untuk mengekstradisi bekas perdana menteri dalam buangan itu bakal berdepan kesukaran berikutan Thaksin kini memiliki pasport Nicaragua.

Kerajaan Nicaragua dalam satu pengumuman lewat kelmarin menamakan Thaksin sebagai Duta Nicaragua bagi misi khas membawa masuk pelaburan ke negara Amerika Tengah itu.

Sehubungan itu, Nicaragua telah mengeluarkan pasport diplomatik kepada beliau pada Januari lepas.

Pengumuman mengenainya dibuat beberapa jam selepas kerajaan Thai menyatakan ia membatalkan paspot peribadi pemimpin itu

714 juta penduduk India mula mengundi




NEW DELHI - Puluhan juta rakyat India keluar membuang undi semalam sekali gus menandakan bermulanya proses pilihan raya selama sebulan ketika gergasi Asia itu dihimpit kemelesetan ekonomi.

Pengundian semalam merupakan proses pertama daripada lima fasa di mana seramai 714 juta penduduknya disahkan layak mengundi.

Lebih 140 juta penduduk layak membuang undi pada permulaan pilihan raya semalam.

Pilihan raya kali ini tidak terkecuali daripada dicemari keganasan apabila serangan gerila Maoist dilaporkan berlaku di merata tempat dengan enam anggota tentera maut manakala tiga pegawai pilihan raya diculik di negeri Jharkhand, timur India.

Bagaimanapun, para pegawai berkata, mereka masih berharap ramai penduduk keluar mengundi tahun ini termasuk di wilayah-wilayah bergolak.

"Rakyat mahu demokrasi berjaya," kata pegawai kanan negeri Assam yang berdepan pergolakan puak pemisah, Tarun Gogoi.

Menurutnya, keputusan pilihan raya besar-besaran itu yang menggunakan lebih 1.3 juta mesin undi elektronik di 828,804 pusat pembuangan undi dijangka diumumkan pada 16 Mei depan.

Penganalisis politik meramalkan tiada parti akan mendapat majoriti kali ini seiring dengan suasana kempen yang suram dan hanya berkisar pada isu-isu setempat.

Beberapa tinjauan sebelum ini menunjukkan Parti Kongres tidak akan memenangi majoriti di Parlimen.

Tuesday, April 14, 2009

Lanun ikrar balas dendam




GAMBAR yang dirakamkan Tentera Laut Amerika Syarikat menunjukkan kapal Maersk Alabama yang ditawan lanun pada 9 April lalu di Lautan Hindi. MOGADISHU - Ketua lanun Somalia semalam mengancam untuk menjadikan rakyat Amerika Syarikat (AS) sebagai sasaran serangan bagi membalas dendam selepas seorang kapten kapal warga AS diselamatkan dalam operasi dramatik yang menyaksikan beberapa penembak hendap membunuh tiga lanun dalam insiden penahanan tebusan selama lima hari.

"Tentera AS membunuh rakan-rakan kami walaupun mereka (lanun-lanun) bersetuju untuk membebaskan tebusan tanpa wang tebusan dibayar. Ini akan menyebabkan tindak balas terutama terhadap rakyat AS yang belayar di perairan kami," kata ketua lanun tersebut, Abdi Garad menerusi telefon.

Kapten kapal itu, Richard Phillips (gambar) terselamat selepas penembak hendap Tentera Laut AS menembak mati tiga lanun selepas Presiden AS, Barack Obama bersetuju tindakan ketenteraan dilakukan kelmarin.

"Kami akan memperhebat serangan termasuk memperluas serangan di luar perairan Somalia dan pada masa hadapan kami akan menyasarkan rakyat AS. Mereka tidak akan diberi belas kasihan," kata Abdi.

Phillips yang mengemudi kapal kargo Maersk Alabama berada dalam keadaan sihat walaupun ditahan selama lima hari dalam sebuah bot penyelamat.

Dedah rahsia pikat bintang bola sepak



BERLIN - Seorang model sebuah majalah lucah, Nives Celsius mendedahkan cara dia menggoda seorang bintang bola sepak dari Croatia, Dino Drpic sehingga berjaya mengahwininya, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebelum ini, penyanyi Cheryl Cole yang berkahwin dengan bintang bola sepak, Ashley Cole manakala Victoria Beckham yang mendirikan rumah tangga dengan David Beckham tidak memberikan sebarang nasihat berhubung cara untuk menggoda seorang bintang bola sepak.

Bagaimanapun, Celsius mendedahkan beberapa maklumat berhubung cara untuk memikat seorang bintang bola sepak.

Antaranya maklumat itu adalah seperti berikut:

Jangan menolak hadiah yang mahal dan membenarkan seorang bintang bola sepak belanja anda makan dalam temu janji.

Jangan menyembunyikan kisah silam. Kisah silam itu akan menjadi bahan gosip pengunjung parti.

Jangan sesekali bertanya soalan seperti di manakah atau dengan siapakah bintang bola sepak itu keluar.

Bantu bintang bola sepak itu dengan situasi sukar seperti memujinya permainan dan kejayaannya. Ambil berat berhubung permainan dan masalahnya.

Jangan kusutkan bintang bola sepak itu denagn isu-isu seperti perkahwinan dan anak. Bintang-bintang bola sepak mahu anda berasa diberi penghormatan apabila bersama mereka.

Seks amat penting bagi bintang bola sepak. Jika anda bosan dengan seks, bintang bola sepak itu akan kehilangan minat terhadap anda. Hubungan seks selepas dia kalah dalam perlawanan adalah dialu-alukan.

Jangan menunjukkan emosi anda.

Al-Qaeda AS desak bantu pejuang Islam




WASHINGTON: Seorang anggota Al-Qaeda di Amerika Syarikat menggesa pengikutnya menambah bantuan kepada penyerang bunuh diri dan pejuang radikal lain, kerana percaya Barat 'mula mabuk' dengan pelbagai isu ekonomi.

Adam Gadahn, dilabel anggota Al-Qaeda Amerika, membuat rayuan itu dalam video baru bertajuk 'Bagaimana Mencegah Pembunuhan Beramai-ramai Gaza Berulang' yang dikeluarkan dalam forum jihad, kata Site Intelligence Group kelmarin.

Video itu mengandungi petikan ucapan pemimpin Al-Qaeda lain termasuk Osama bin Laden, Mustafa Abu al-Yazid dan Abu Yahya al-Libi.

Gadahn menolak usaha pentadbiran Presiden Amerika Barack Obama untuk berdamai dengan dunia Islam, mempertikaikan pendekatan Amerika tidak berubah sejak George W Bush berkuasa.

"Amerika diperintah oleh entiti politik, ekonomi, sosial dan budaya yang membawa bersamanya kekejaman terhadap pihak yang lemah dan tertindas, kebanyakannya orang Islam," kata Gadahn

Saudi haram guna nombor plat jijik

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi mengharamkan nombor pendaftaran kenderaan yang dilihat sebagai 'menjijikkan' dalam bahasa Inggeris apabila huruf Arab diberi dalam abjad Latin.

Akhbar al-Watan melaporkan, perkataan yang diharamkan termasuk ‘sex’ tetapi yang mengungguli senarai ialah ‘USA.’

Laporan juga menyebut, 90,000 nombor pendaftaran sedia ada akan digantikan. Nombor pendaftaran peribadi amat popular di kalangan penduduk muda Arab Saudi yang kaya. Satu nombor pendaftaran dijual baru-baru ini pada satu acara lelong pada harga 6 juta riyal (RM4.32 juta), lapor akhbar itu.

Nombor pendaftaran baru Arab Saudi termasuk tiga huruf Arab yang juga ditunjukkan dalam abjad Latin.

Minat yang semakin memuncak di kalangan pemilik kenderaan membeli nombor pendaftaran peribadi yang ada di antaranya berbunyi ‘nut’, ‘but’, ‘bad’ atau ‘bar’ dalam bahasa Inggeris.

'Guru cinta' tarik perhatian di India

NEW DELHI: Seorang profesor yang digelar 'guru cinta' bertanding dalam pilihan raya di India atas landasan luar biasa berbanding calon lain - menjanjikan lebih kebebasan kepada pasangan kekasih dan menentang kumpulan sukarelawan yang mencemuh perbuatan bermesra di khalayak ramai.

Matuk Nath Choudhary, yang bertanding di ibu negeri Bihar, Patna, berjanji, jika dia menang, pasangan kekasih pada semua peringkat usia akan digalakkan untuk menunjukkan emosi mereka di mana dan pada bila masa saja.

Profesor yang bercakap bahasa Hindi itu, mula terkenal kerana menjalinkan hubungan sulit secara terbuka dengan penuntutnya tiga tahun lalu, bertanding dengan calon bebas menentang nama yang sudah terkenal dalam politik.

Bagaimanapun, lelaki yang menjadi tajuk utama kerana melanggar norma sosial di India untuk bersekedudukan dengan kekasihnya, walaupun kedua-dua mereka dihina isterinya di depan kamera televisyen, kelihatan tidak tergugat dengan cabaran itu.

“Saya berusaha sendiri. Tidak seperti lawan saya yang mempunyai sokongan parti politik dan sejumlah besar wang. Saya mempunyai sumber terhad. Namun mesej saya - mengenai cinta, pendidikan, memperbaiki masyarakat - boleh diterima akal dan itu sebabnya orang ramai mendengar kata-kata saya.

“Semua orang takut bercakap mengenai cinta dan seks. Saya melakukannya secara terbuka dan itu yang saya tunjukkan kepada belia,” katanya kepada AFP menerusi telefon dari Patna.

Choudhary, 55, melancarkan manifestonya minggu lalu dengan janji membawa masuk ‘perlindungan mencukupi untuk pasangan kekasih’ termasuk ‘taman kekasih’ di Patna, yang membolehkan mereka bertemu ‘jauh dari mata masyarakat.’

Kedudukan yang sesuai itu - dilindungi banyak pokok dan pohon rendah - turut menyediakan pakar terapi dan kaunselor untuk memberi nasihat mengenai cinta, seks dan perhubungan.

Janji Choudhary kelihatan menjadi halwa telinga kepada pasangan kekasih di India yang terpaksa berdepan dengan anggota keluarga dan kumpulan sukarelawan serta pihak yang mempertahankan tradisi.