Tuesday, April 14, 2009

'Guru cinta' tarik perhatian di India

NEW DELHI: Seorang profesor yang digelar 'guru cinta' bertanding dalam pilihan raya di India atas landasan luar biasa berbanding calon lain - menjanjikan lebih kebebasan kepada pasangan kekasih dan menentang kumpulan sukarelawan yang mencemuh perbuatan bermesra di khalayak ramai.

Matuk Nath Choudhary, yang bertanding di ibu negeri Bihar, Patna, berjanji, jika dia menang, pasangan kekasih pada semua peringkat usia akan digalakkan untuk menunjukkan emosi mereka di mana dan pada bila masa saja.

Profesor yang bercakap bahasa Hindi itu, mula terkenal kerana menjalinkan hubungan sulit secara terbuka dengan penuntutnya tiga tahun lalu, bertanding dengan calon bebas menentang nama yang sudah terkenal dalam politik.

Bagaimanapun, lelaki yang menjadi tajuk utama kerana melanggar norma sosial di India untuk bersekedudukan dengan kekasihnya, walaupun kedua-dua mereka dihina isterinya di depan kamera televisyen, kelihatan tidak tergugat dengan cabaran itu.

“Saya berusaha sendiri. Tidak seperti lawan saya yang mempunyai sokongan parti politik dan sejumlah besar wang. Saya mempunyai sumber terhad. Namun mesej saya - mengenai cinta, pendidikan, memperbaiki masyarakat - boleh diterima akal dan itu sebabnya orang ramai mendengar kata-kata saya.

“Semua orang takut bercakap mengenai cinta dan seks. Saya melakukannya secara terbuka dan itu yang saya tunjukkan kepada belia,” katanya kepada AFP menerusi telefon dari Patna.

Choudhary, 55, melancarkan manifestonya minggu lalu dengan janji membawa masuk ‘perlindungan mencukupi untuk pasangan kekasih’ termasuk ‘taman kekasih’ di Patna, yang membolehkan mereka bertemu ‘jauh dari mata masyarakat.’

Kedudukan yang sesuai itu - dilindungi banyak pokok dan pohon rendah - turut menyediakan pakar terapi dan kaunselor untuk memberi nasihat mengenai cinta, seks dan perhubungan.

Janji Choudhary kelihatan menjadi halwa telinga kepada pasangan kekasih di India yang terpaksa berdepan dengan anggota keluarga dan kumpulan sukarelawan serta pihak yang mempertahankan tradisi.

No comments:

Post a Comment