Tuesday, April 14, 2009

Lanun ikrar balas dendam




GAMBAR yang dirakamkan Tentera Laut Amerika Syarikat menunjukkan kapal Maersk Alabama yang ditawan lanun pada 9 April lalu di Lautan Hindi. MOGADISHU - Ketua lanun Somalia semalam mengancam untuk menjadikan rakyat Amerika Syarikat (AS) sebagai sasaran serangan bagi membalas dendam selepas seorang kapten kapal warga AS diselamatkan dalam operasi dramatik yang menyaksikan beberapa penembak hendap membunuh tiga lanun dalam insiden penahanan tebusan selama lima hari.

"Tentera AS membunuh rakan-rakan kami walaupun mereka (lanun-lanun) bersetuju untuk membebaskan tebusan tanpa wang tebusan dibayar. Ini akan menyebabkan tindak balas terutama terhadap rakyat AS yang belayar di perairan kami," kata ketua lanun tersebut, Abdi Garad menerusi telefon.

Kapten kapal itu, Richard Phillips (gambar) terselamat selepas penembak hendap Tentera Laut AS menembak mati tiga lanun selepas Presiden AS, Barack Obama bersetuju tindakan ketenteraan dilakukan kelmarin.

"Kami akan memperhebat serangan termasuk memperluas serangan di luar perairan Somalia dan pada masa hadapan kami akan menyasarkan rakyat AS. Mereka tidak akan diberi belas kasihan," kata Abdi.

Phillips yang mengemudi kapal kargo Maersk Alabama berada dalam keadaan sihat walaupun ditahan selama lima hari dalam sebuah bot penyelamat.

No comments:

Post a Comment