Friday, April 17, 2009

714 juta penduduk India mula mengundi




NEW DELHI - Puluhan juta rakyat India keluar membuang undi semalam sekali gus menandakan bermulanya proses pilihan raya selama sebulan ketika gergasi Asia itu dihimpit kemelesetan ekonomi.

Pengundian semalam merupakan proses pertama daripada lima fasa di mana seramai 714 juta penduduknya disahkan layak mengundi.

Lebih 140 juta penduduk layak membuang undi pada permulaan pilihan raya semalam.

Pilihan raya kali ini tidak terkecuali daripada dicemari keganasan apabila serangan gerila Maoist dilaporkan berlaku di merata tempat dengan enam anggota tentera maut manakala tiga pegawai pilihan raya diculik di negeri Jharkhand, timur India.

Bagaimanapun, para pegawai berkata, mereka masih berharap ramai penduduk keluar mengundi tahun ini termasuk di wilayah-wilayah bergolak.

"Rakyat mahu demokrasi berjaya," kata pegawai kanan negeri Assam yang berdepan pergolakan puak pemisah, Tarun Gogoi.

Menurutnya, keputusan pilihan raya besar-besaran itu yang menggunakan lebih 1.3 juta mesin undi elektronik di 828,804 pusat pembuangan undi dijangka diumumkan pada 16 Mei depan.

Penganalisis politik meramalkan tiada parti akan mendapat majoriti kali ini seiring dengan suasana kempen yang suram dan hanya berkisar pada isu-isu setempat.

Beberapa tinjauan sebelum ini menunjukkan Parti Kongres tidak akan memenangi majoriti di Parlimen.

No comments:

Post a Comment