Sunday, April 12, 2009

Parti Demokrat pimpinan Susilo masih dahului Pemilu Indonesia




JAKARTA: Parti Demokrat, parti pemerintah pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang memenangi 20.48 peratus undi pada Pemilihan Umum Indonesia 2009 (Pemilu) Khamis lalu, masih mendahului parti lain dalam hasil pengiraan cepat setakat hari ini.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia menyiarkan hasil pengiraan cepat itu bagi pemilihan wakil rakyat ke Dewan Perwakilan Rakyat (DPR/Parlimen), yang setakat ini baru membabitkan 2.3 juta undi daripada sejumlah 171 juta pengundi berdaftar di seluruh negara.

Hasil pengiraan cepat itu menunjukkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) pimpinan bekas Presiden Megawati Sukarniputri pula mendapat 14.29 peratus undi manakala bekas parti pemerintahan zaman Suharto, Parti Golkar, memperoleh 14.27 peratus.

Hanya sembilan parti sahaja yang memperoleh lebih dua peratus undi setakat ini daripada jumlah 38 parti yang bertanding di peringkat kebangsaan di samping enam parti bersifat tempatan di Aceh.

Sebanyak enam buah parti nasional setakat ini mendapat sekitar satu peratus undi dan enam buah parti kecil masih belum mencatatkan sebarang peratusan undi manakala parti lain mendapat sekitar 0.01 hingga 0.96 peratus undi.

KPU sebelum ini menjangkakan keputusan penuh dan rasmi akan diketahui hanya pada 9 Mei iaitu sebulan selepas tarikh pilihan raya diadakan.

No comments:

Post a Comment