Friday, April 17, 2009

Thaksin Shinawatra kini miliki pasport Nicaragua



DUBAI - Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra (gambar) semalam menggesa para penyokongnya yang mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran baru-baru ini supaya menyertai rundingan damai dengan kerajaan Thai.

Bangkok sebelum ini lumpuh selama beberapa hari selepas demonstrasi yang disertai puluhan ribu penyokong beliau bagi mendesak pilihan raya baru diadakan namun ia bertukar ganas.

Suasana kembali tenang pada Selasa lalu selepas tentera mengadakan gerakan besar-besaran bagi memulihkan keamanan.

"Jika kerajaan mahu berdamai, saya menggalakkan kumpulan baju merah supaya turut serta," kata Thaksin dalam satu wawancara di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Thai sudah mengeluarkan 14 waran tangkap terhadap Thaksin termasuk membatalkan pasport peribadi beliau.

Bagaimanapun, usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva untuk mengekstradisi bekas perdana menteri dalam buangan itu bakal berdepan kesukaran berikutan Thaksin kini memiliki pasport Nicaragua.

Kerajaan Nicaragua dalam satu pengumuman lewat kelmarin menamakan Thaksin sebagai Duta Nicaragua bagi misi khas membawa masuk pelaburan ke negara Amerika Tengah itu.

Sehubungan itu, Nicaragua telah mengeluarkan pasport diplomatik kepada beliau pada Januari lepas.

Pengumuman mengenainya dibuat beberapa jam selepas kerajaan Thai menyatakan ia membatalkan paspot peribadi pemimpin itu

No comments:

Post a Comment