Monday, April 13, 2009

687 maut serangan 'Predator' Amerika




LAHORE: Amerika Syarikat melancarkan 60 serangan pesawat kawalan jauh di wilayah Pakistan mulai 14 Januari 2006 hingga 8 April 2009 tetapi hanya 10 menepati sasaran dan membunuh 14 pemimpin pergerakan al-Qaeda.

Baki serangan pula mengorbankan 687 penduduk awam manakala peratus kejayaan serangan itu tidak lebih enam peratus, lapor akhbar berbahasa Inggeris di sini, The News.

Perangkaan yang dikumpul oleh pihak berkuasa Pakistan menunjukkan keseluruhan 701 orang, termasuk 14 pemimpin al-Qaeda, terbunuh sejak Januari 2006 dalam 60 serangan pesawat 'Predator' yang mensasarkan kawasan puak di Pakistan.

Dua serangan pada 2006 membunuh 98 penduduk awam manakala tiga serangan yang dilancarkan setahun kemudian meragut 66 nyawa, dan tiada seorang pun daripada mereka adalah pemimpin al-Qaeda atau Taliban.

Bagaimanapun, daripada 50 serangan 'Predator' yang dilancarkan antara 29 Januari 2008 dan 8 April 2009, 10 menepati sasaran dan membunuh 14 anggota al-Qaeda.

Kebanyakan serangan dilancarkan berdasarkan maklumat anggota puak Pakistan dan Afghanistan yang mengintip bagi pihak tentera sekutu Barat diketuai Amerika Syarikat yang berpangkalan di Afghanistan.

Lima puluh serangan yang tidak menepati sasaran disebabkan maklumat risikan yang salah, membunuh beratus-ratus penduduk awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Bilangan penduduk awam yang maut dalam 50 serangan itu ialah 537 iaitu 385 kehilangan nyawa tahun lalu dan 152 lagi dibunuh dalam 99 hari awal 2009 - purata 34 pembunuhan sebulan dan 11 kematian dalam satu serangan.

Rekod turut mencatatkan 36 serangan merentasi sempadan ke wilayah Pakistan pada tahun 2008, dengan 29 daripadanya berlaku selepas 31 Ogos 2008, yang membunuh 385 orang.

Sejak 3 September 2008, Amerika meningkatkan serangan di wilayah puak Pakistan dalam usaha mengganggu rangkaian Taliban dan al-Qaeda, dengan dakwaan kawasan berkenaan digunakan untuk melancarkan serang hendap merentasi sempadan terhadap tentera NATO di Afghanistan.

No comments:

Post a Comment