Monday, April 13, 2009

Hizbullah nafi gugat Mesir




BEIRUT: Pemimpin Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah, kelmarin mengakui seorang lelaki yang ditahan di Mesir atas dakwaan merancang melancarkan serangan ke atas negara itu adalah anggotanya, tetapi menyangkal keras tuduhan ia merancang menyerang Mesir.

"Sami Shihab bekerja mengangkut senjata kepada pejuang Palestin yang menentang Israel," katanya lagi.

"Apa yang dilakukannya di sempadan Mesir-Palestin ialah kerja logistik untuk membantu saudara Palestin mengangkut peralatan untuk kumpulan pejuang di Palestin.

"Jika membantu Palestin satu jenayah, saya secara rasmi mengaku melakukan jenayah. Dan jika ia satu tuduhan, kami bangga dengannya. Semua orang tahu ini bukan kali pertama Hizbullah cuba memberikan senjata kepada pejuang Palestin," katanya.

Pihak berkuasa Mesir menahan 49 orang, termasuk rakyat Palestin dan Sudan, yang mempunyai hubungan dengan Hizbullah atas dakwaan merancang menyerang Mesir.

Nasrallah berkata, tidak lebih 10 orang membantu Shihab dalam misinya. "Saya tidak tahu dari mana 50 orang yang lain datang. Kebanyakannya tiada kaitan dengan Hizbullah," katanya.

Pejabat pendakwa awam Mesir menuduh Hizbullah cuba merekrut anggota untuk melancarkan serangan di Mesir. Defendan turut dituduh khianat, memalsukan dokumen rasmi dan menyediakan alat letupan.

Nasrallah, bagaimanapun menafikan tuduhan ia merancang menyerang Mesir.

"Semua tuduhan itu bohong dan palsu yang bertujuan membuatkan rakyat Mesir menentang Hizbullah," katanya. AFP

No comments:

Post a Comment