Monday, April 13, 2009

Inul sudah ada nama anak sulung




JAKARTA: Penyanyi dangdut terkenal Indonesia Inul Daratista sudah membuat tempahan hospital di ibu negara Indonesia itu untuk melahirkan anak pertama beliau yang dijangka pada awal Mei, hasil perkahwinan dengan suaminya, Adam Suseno.

Malah, beliau juga sudah menyediakan dua nama untuk bayi yang akan dilahirkan dan yang pasti kedua-dua nama berasaskan nama Jawa. Namun, Inul enggan memberitahu nama itu.

"Saya merancang untuk lahirkan bayi saya di Jakarta. Semuanya sudah siap dan ini termasuk tempahan hospital bersalin. Mengenai nama anak, biar ia menjadi rahsia dulu," katanya.

Inul atau nama sebenarnya Ainur Rokhimah, juga enggan memberitahu di hospital mana beliau akan melahirkan anaknya dan memberi alasan untuk memastikan beliau dan keluarganya tidak diganggu pada saat amat bermakna itu.

Inul kini tidak lagi membuat persembahan atau bergelek di pentas dan menolak sebarang undangan untuk mengadakan pertunjukan bagi memastikan dia tidak keletihan.

"Jika ada tawaran, kami hanya akan membuat perbincangan dan menangguhkan persembahan sehingga saya selamat bersalin.

"Pada masa ini tumpuan penuh saya ialah untuk menjaga kesihatan agar bayi dalam kandungan saya tidak menghadapi masalah," katanya.

Inul yang berkahwin dengan Adam sejak 13 tahun lalu menghabiskan beratus juta rupiah dan menggunakan pelbagai kaedah termasuk persenyawaan di luar rahim untuk hamil.

"Saya tidak kisah anak lelaki atau perempuan, harapan saya dia akan menjadi anak yang baik dan soleh," katanya.

Sementara itu, sebagai warga negara yang bertanggungjawab, Inul turut menunai kewajipan mengundi dalam pilihan raya umum.

"Masalahnya, terlalu banyak parti bertanding dan kami terpaksa buat pemilihan seperti memilih lauk. Bayangkan, ada 38 parti mencuba nasib kali ini membuat saya dan suami kebingungan parti mana hendak dipilih. Akhirnya saya pangkah begitu saja," katanya sambil ketawa.

No comments:

Post a Comment