Monday, April 13, 2009

Thaksin akan pulang




BANGKOK - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra (gambar kecil) memberitahu penyokong-penyokongnya semalam bahawa beliau akan pulang ke tanah air jika pihak berkuasa melancarkan satu operasi menamatkan penunjuk perasaan secara ganas.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap menerusi telefon kepada beribu-ribu penunjuk perasaan di luar pejabat Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva di sini.

Thaksin menyatakan beliau memantau pengisytiharan darurat oleh Abhisit untuk menamatkan perhimpunan penunjuk perasaan.

"Saya akan memantau situasi dan jika terdapat sebarang keganasan, saya akan pulang dengan segera.

"Saya tidak akan membenarkan mereka (pihak berkuasa) menggunakan kekerasan," katanya selepas Bangkok dilanda ketegangan berikutan perbuatan penunjuk perasaan.

"Askar-askar sudah keluar dan menyertai kumpulan berbaju merah bagi membantu kami memperoleh demokrasi untuk rakyat.

"Ini merupakan peluang keemasan. Kami akan mencipta sejarah dan tidak akan ada lagi rampasan kuasa katanya."

Thaksin mengucapkan terima kasih kepada pihak tentera kerana tidak menggunakan kekerasan kepada kumpulan berbaju merah yang menyokongnya.

Beliau turut meminta mereka menyertai kempen bagi menggulingkan kerajaan.

Thaksin kini hidup dalam buangan selepas beliau disabitkan dengan kesalahan salah guna kuasa oleh sebuah mahkamah.

Beliau digulingkan daripada menjadi Perdana Menteri pada tahun 2006 oleh junta tentera selepas berlaku satu siri tunjuk perasaan menentang pentadbirannya.

No comments:

Post a Comment